"E'Som hendak ke mana tu?," tiba-tiba Mak Bedah menyapa Mak E'som yang kebetulan lalu di hadapan rumahnya.
"Saya hendak ke rumah Minah kejap ada hal nak dibincangkan," sambil bibirnya mengukir senyum. Sanggulnya yang berhias bunga raya berwarna merah itu menyerlahkan kecantikannya dalam usia lewat 40-an itu. Maklumlah, janda beranak dara satu.
"Tak singgah dulu?," Mak Bedah hanya berbahasa.
"Tidak apalah Bedah. Saya nak cepat ni. Lain kali saja ya. Saya pergi dulu," Mak E'som menolak dengan sopan. Dia berlalu dengan langkah yang agak tergesa-gesa. Mak Bedah hanya tersenyum melihat gelagat Mak E'som yang suka berpakaian kebaya ketat dengan kain belah sampai peha itu.
*********************
"Assalamualaikum!," E'som memberi salam dari luar pintu pagar rumah Mak Minah. Dia meninjau melalui celah-celah pagar besi rumah itu untuk memastikan tuan rumah ada di dalam. Tidak lama kemudian muncul Mak Minah di muka pintu lalu mengajaknya masuk ke dalam rumah.
"Cantik E'som hari ini ya," dia cuba memujinya.
"Terima kasihlah...tapi biasa-biasa saja," dia cuba merendah diri tapi ada sedikit rasa bangga.
"Tujuan saya datang ni nak kongsi satu cerita panas yang berlaku di kampung kita ni," Mak E'som memulakan perbualan. Dia tidak senang duduk kalau cerita itu tidak disampaikan.
"Cerita...cuba cerita sebab saya pun tak sabar nak dengar," Mak Minah nampaknya mahu mengetahui cerita sebenar.
"Begini...dengar cerita anak dara sulung Pak Usop sudah bernikah dengan seorang lelaki tua. Dengar cerita lagi...jadi bini kedua!," Mak E'som membetulkan duduknya di atas sofa.
"Ya ke?...betul ke ni?," Mak Minah seolah-olah kurang yakin dengan cerita itu.
"Betullah! cerita sahih ni. Saya tak pernah bohong dengan awak," Mak E'som cuba menyakinkannya.Mak Minah akhirnya mengangguk.
"Dah kecoh satu kampung...awak masih tak tahu? Awak ni betul-betullah ketinggalan," Mak E'som semakin bersemangat.
"Si Senah dah berterus terang dengan Pak Usop yang dai dah kahwin senyap-senyap dengan orang tua tu. Apa lagi...Pak Usop naik beranglah sebab Senah sudah membelakangkan keluarga. Kita ni kena berjaga-jaga Minah. takut nanti suami kita pasang satu lagi!," Mak E'som cuba mengingatkan Mak Minah.
"Isteri ornag tua tu macam mana pula?," Mak Minah mahukan cerita itu dilanjutkan.
"Siapa? orang tua suami Senah tu?," Mak E'som kurang faham. Mak minah hanya mengangguk.
"Isterinya merajuk dan hampir nak minta cerai tapi berjaya dipujuk oleh orang tua miang tu!," Mak E'som memberikan jawapan yang agak memuaskan. Agak lama juga mereka bercerita sehinggalah tengah hari. Menyedari dirinya sudah terlalu lama di situ, Mak Esom akhirnya meminta diri untuk pulang.
"Nantilah Minah kisa sambung lagi..tengoklah esok atau lusa. Sebenarnya ada lagi cerita menarik tapi jangan awak risau nanti saya datang lagi. Saya pun tak nak awak ketinggalan cerita-cerita sensasi di kampung kita ni,"
Mak Minah hanya mengangguk dan memang berharap Mak E'som akan datang lagi.
************************
"Minah! mana cermin mata abang?," Pak Haji berusaha mencari di calah-celah buku yang tersusun di rak. Minah hanya menggelengkan kepala sambil menghulurkan cermin mata yang dicari oleh suaminya itu.
"Dah jumpa pun. Awak jumpa di mana?," Pak Haji mengukir senyuman kepada isteri kesayangannya itu.
"Abang tu pelupa sangat. Cermin mata tu di dalam bilik atas meja tepi katil. Abang selalu letak di sana tapi kenapa cari di sini?," Mak Minah agak geram dengan sikap pelupa suaminya itu. Pak haji hanya tersenyum lebar kerana dia tahu kelemahannya dan tidak pula berkecil hati dengan leter isterinya itu.
"Abang...betulkah anak Pak Usop tu dah jadi bini kedua?," Mak Minah mahukan kepastian daripada suaminya kerana dia tahu orang tua itu kenal rapat dengan Pak Usop. Pak Haji yang mendengar soalan itu agak terkejut.
"Siapa kata? tak adalah macam tu ceritanya. Sebenarnya anak Pak Usop tu kahwin dengan anak Datu yang kaya raya di KL bukan kahwin dengan bapanya. Datu tu memang ada ura-ura nak kahwin satu lagi tapi bukan dengan Senah. Siapa yang sebar cerita tak betul ni?," Pak Haji menggelengkan kepala kerana ada rasa tidak puas hati dengan cerita itu.
"E'som bang. Dia pun dengar daripada cerita orang," Mak Minah menjelaskan dengan ringkas.
"Lain kali jangan mudah percaya dengan internet bergerak tu ya. Awak ni pun suka sangat bergaul dengan orang macam E'som tu. Perangai macam tu tidak elok diamalkan dalam hidup berjiran kerana akan menyebabkan persengketaan. Daripada awak dengar cerita-cerita Si E'som tu lebih baik abang pasangkan Astro di rumah kita ni. Awak dapat faedah juga.
"Internet bergerak tu apa bang?," Mak Minah kurang faham.
"Internet bergerak pun awak tak tahu! Si E'som tu ibarat internet bergeraklah sebab suka sangat sebar cerita yang tak elok pasal orang lain. Lambat laun awak pula yang jadi bahan umpatannya kalau awak terus-terus bergaul dengan ornag macam tu.Faham?," Pak Haji amat berharap isterinya itu faham dengan apa yang dimaksudkannya.