Telur Busuk!
Semalam aku dan Kamal pergi ke Pusat Bandar dengan menaiki bus mini. Tiba di pusat bandar kami menaiki City Bus ke One Borneo iaitu pusat beli-belah terkenal di pusat bandar ini.Malangnya, kami terpaksa bersesak-sesak di dalam bas itu dan tempat duduk juga sudah penuh menyebabkan kami hanya berdiri sambil mencari-cari peluang untuk mencari tempat duduk yang kosong.
“Jeck! Aku paling pantanglah mencium macam-macam bau pelik ni,” tiba-tiba Kamal bersuara antara dengar dengan tidak. Aku mengerutkan dahi tanda tidak faham. Kamal semakin mendekatkan mulutnya ke telingaku.
“Bau kentut!,” aku hampir tergelak mendengarnya.
“Mana ada,” aku menafikan kerana aku sendiri tidak terhidu bau yang dimaksudkan. Aku memandang sekeliling untuk memastikan kalau-kalau ada sesiapa yang terhidu bau itu. Ada beberapa orang yang berhampiran kami memberikan reaksi yang mencurigakan. Yang paling jelas salah seorang perempuan tua mennutup hidungnya dengan tudung yang dipakainya. Aku semakin yakin ada yang menyedari kehadiran bau busuk itu. Kamal menanti reaksiku selanjutnya kerana dia juga menyedari yang orang sekeliling semakin tidak selesa.
“Betullah!,” kataku berbisik kepadanya.
“Mak! Bau telur busuk,” tiba-tiba seorang budak lelaki berusia tujuh tahun bersuara di belakangku yang sedang duduk di tepi tingkap manakala seorang perempuan kira-kira berusia 30_an betul-betul duduk berhampiran dengan kami. Secepat itu juga aku menoleh ke arah mereka. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat ibu budak itu hampir-hampir pengsan. Aku panik melihat keadaan itu.
“Makcik! Makcik! ,” aku menepuk-nepuk pipi perempuan yang bergelar ibu itu. Manakala anaknya mengoncang-goncang lengan ibunya setelah menyedari keadaan itu. Semua orang dalam bas itu berbisik antara satu sama lain.
“Apa sudah jadi?,” Kamal menyoal aku sesuatu yang aku sendiri tidak pasti jawapannya. Aku menggelengkan kepala sambil mengerutkan dahi yang belum tua itu. Tidak lama kemudian perempuan itu pun sedar daripada pengsannya.
“Apa terjadi dengan makcik?,” aku menyoal inginkan kepastian kerana aku sendiri tidak tahu apa-apa yang menyebabkan dia berkeadaan begitu. Hidungnya dikembang-kempiskan dan aku hanya memerhatikan kelakuannya sambil sabar menanti jawapan daripada mulutnya sendiri. Aku semakin risau menanti jawapannya. Kamal juga merenung ke arah perempuan itu.
“Mengapa makcik pengsan?,” aku menukar bentuk soalan tetapi jawapan yang aku inginkan tetap sama. Akhirnya perempuan itu memandang ke arahku.
“Lain kali kalau nak sembur minyak wangi tu biar yang harum!,” mendengar kata-katanya aku terkejut hingga mukaku merah padam. Kamal yang mendengarnya juga memandang ke arahku sambil mengerutkan dahi tanda tidak mengerti. Tetapi yang memalukan apabila ramai orang di sekeliling kami memandang sinis ke arahku dan tidak kurang juga ada yang ketawa mengejek.
