Wednesday, 31 August 2011

sketsa2


Terpercik ke Muka
“Assalamualaikum Mak Jah!”
“Walalikumsalam.Eh! Pi’ah silakan naik dan jemput masuk ke dalam ya”
“Terima kasihlah Mak Jah dengan pelawaan yang penuh sopan aan santun tu ya,” sambil ketawa mesra.
“Apa cerita panas hangat hari ini,” nampaknya Mak Jah tak sabar-sabar lagi ingin mendengar berita terbaharu. Pi’ah menepuk bahu Mak Jah yang spoting itu.
“Tadi masa aku di pekan terserempak dengan Bidin. Sedang kami sibuk bercerita  tiba-tiba muncul merpati dua sejoli sedang berjalan beriringan sambil berpegangan tangan. Amboi! Mak Jah tak cukup dengan itu SI Teruna tadi memeluk pinggang  Si Dara. Mereka tak sedar pun banyak mata memandang mereka. Sesekali Si Teruna mencium pipi Si Dara tadi. Geram aku!
“Entah dara ke tak,” Mak Jah  menyampuk.
“Tak tahulah pula. Tapi budak perempuan tu pakai baju kebaya ketat dengan kain terbelah dua. Tak hairanlah kalau budak teruna tadi tak tahan!,” Pi’ah semakin bersemangat  mengulas dengan mulutnya yang bersuntil itu.
“Anak siapalah agaknya ya. Kalau orang tuanya melihat pasti kecoh. Kalau anak aku macam tu aku siat-siat dagingnya! Macam Mak Leha tahun lepas habis dikerjakan anaknya cukup-cukup sampai masuk hospital budak tu,” Mak Jah berkata geram.
“Anak aku pun selalu aku ingatkan supaya jangan berperangai tak elok. Eh! Anak awak Ejah tu kerja apa sekarang? Lima tahun aku tidak melihatnya. Macam manalah wajahnya sekarang ya?,” Pi’ah tiba-tiba teringatkan Ejah anak Mak Jah yang dikatakan berhijrah ke bandar mencari kerja.
“Dia kerja di KL setelah habis belajar di universiti tapi semalam dia balik ke sini. Katanya nak cuti seminggu,” Mak Jah tersenyum lebar. Dia bangga anaknya sudah berkerja.
“Assalamualaikum!,” tiba-tiba seseorang di luar rumah memberi salam
“Walaikumsalam! Pasti Ejah dah balik. Suaranya aku kenal sangat,” Mak Jah hanya memanjangkan lehernya melihat ke luar tingkap kerana tangga utama rumahnya berdekatan dengan tingkap.  Tidak lama kemudian muncul Ejah dari muka pintu sambil menghadiahkan senyuman manis.
“Eh! Mak Pi’ah pun ada,” dia menyapa mesra.  Dia menghulurkan tangan untuk  bersalaman dengan jiran rapat  ibunya itu. Pi’ ah yang melihat wajah Ejah tiba-tiba tercengang sambil matanya meliar memandang ke seluruh inci tubuh Ejah. Suntil di bibirnya hampir-hampir terjatuh tetapi sempat diselamatkan oleh bibirnya tanya yang tebal itu.
“Da..dari mana Ejah?,” sambil mengukir senyuman agar perubahan di wajahnya tidak disedari Mak Jah dan Ejah. Memang cantik tapi…ayat itu hanya diluahkannya dalam hati agar tiada siapa pun yang tahu.
“Dari  mana Ejah?,” Mak Jah menyoal.
“Dari pekan tadi mak, ada hal. Saya terserempak dengan Pakcik Bidin dan Mak Pi’ah di pekan tapi tak sempat nak tegur sebab masa tu Ejah dah nak menyeberang jalan.,” Ejah menjawab tanpa berfikir panjang.
Tiba-tiba Mak Jah tersentak dengan jawapan itu. Matanya bertentangan  dengan Pi’ah  yang juga menyedari perubahan pada mukanya.
“A…a…aku minta diri dulu Mak Jah,” cepat-cepat dia melangkah keluar dari rumah itu sebelum gunung berapi meletup!