Sunday, 11 March 2012

Cinta





Alangkah indahnya bila dicinta
pelanggi indah mewarnai dunianya
hingga kadangkala dia lupa
hidup di dunia fana

Melabuh tirai cinta membara
dihiasi sulaman kasih tulus
berkorban jiwa tanpa kenal
erti putus asa
dalam mengharugi gelora duka
 




Sajak “Melayu” Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak
Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

Saturday, 10 March 2012

KEKHILAFAN


Sinopsis

Jelita seorang gadis yang cantik dan  ramai lelaki yang mudah terpikat kepadanya. Namun, Jelita sangat sombong dan bangga jika ramai lelaki menggilai dirinya. Apa yang membuatkan Jelita rimas apabila Qadir selalu mengirimkan bunga ke pejabatnya. Dia memang tidak berkenan dengan Qadir yang lurus bendul. Dia sebenarnya berkenan dengan Hisham yang segak bergaya dan seorang usahawan muda yang berjaya berbanding Qadir yang hanya memiliki sebuah kedai kasut di bandar itu. Cerpen ini penuh dengan monolog dalaman daripada watak utama iaitu Jelita untuk mendalami perwatakan sebenarnya dan pandangannya terhadap orang di sekeliling. Sikapnya yang suka menilai orang lain dan menyangka dirinya terlalu sempurna membuatkan Hisham tidak menyukainya walaupun Jelita cuba memikat dirinya tetapi hatinya tetap tidak terpikat. Hanya  Qadir  yang boleh menerima sikap Jelita yang sombong dan bangga diri itu. Akibat suatu peristiwa yang tidak diduga, akhirnya Jelita menerima Qadir dalam sudut hati yang sedang terluka akibat kecewa. Namun, ketika lukanya kembali sembuh, Jelita mula berubah dan berlaku curang di belakang Qadir. Qadir yang menyedari kecurangan itu cuba mengambil semula hati Jelita dengan mengubah penampilan dan sikapnya. Sehinggalah berlaku suatu tragedi yang membawa kepada kematian dan peristiwa hitam itu sudah cukup membuatkan Jelita insaf.
Ikuti cerita ini …akan saya coretkan untuk anda semua..

Mengapa Mesti Terasa

Mengapa mesti terasa
kalau betul bagai dikata
bibir manis berbisa
menyusun baris-baris kata.

Mengapa mesti terasa
kalau betul bagai dikata
telinga lintah
temui gelombang rahsia.

Mengapa mesti terasa
kalau betul bagai dikata
mata meliar
bernafsu serakah.

Mengapa mesti terasa
kalau begitu bagai dikata
gigi lembut
senyum penuh dendam.

Kemelut di Muara Kasih (Sajak)

Suatu ketika...
kugamit bunga-bunga keindahan
kudakap gerbang kebahagiaan
aku teruja merenung mentari yang tersenyum

namun..
taman yang kusangka indah
gerbang yang kusangka teguh
mentari yang kusangka ceria
rupanya...
bunga-bunga mendambakan sinar
gerbang runtuh  kehausan tasik madu
mentari tangiskan kelayuan bunga-bungaan

Inilah...
duniaku kemelutku
yang belum bernokhta
entah bilakah tiba sinarnya?
kudahagakan keindahan dan ketenangan jiwa
kudambakan langkah dan pelayaran 
dalam alam fana
yang penuh cahaya kasih suciNya.
Yang Maha Pengasih...
Yang Maha Penyayang...


Mudah-mudahan kutemui 
petunjuk ketenangan dan kebahagiaan sejati
agar kemelut kasihku berakhir.